Simbolisme Ganesha Ganesha

Ganesha di Kuil Sasvikal

Gaṇa bermaksud kategori. Semua pengalaman yang diperolehi melalui pancaindera dan semua yang difahami boleh dikelaskan atau dikategorikan. Prinsip yang menyebabkan kewujudan semua kategori ini ialah Gaṇapati atau Tuhan semua kategori. Ini sebenarnya bermaksud, asal-usul ciptaan atau Tuhan.

Satu perkataan umum bahasa Sanskrit untuk gajah ialah 'Gaja'. Maka, nama 'Gajānana' atau 'Gajamukha' ('muka gajah') diberikan. Namun, perkataan 'Gaja' mempunyai maksud yang mendalam. 'Ga' merujuk kepada 'gati' atau matlamat akhir yang ditujui oleh seluruh ciptaan, sama ada secara sedar atau tidak sedar. 'Ja' pula merujuk kepada 'janma', iaitu kelahiran atau asal-usul. Maka, 'Gaja' bermaksud Tuhan, iaitu asal-usul ciptaan dan matlamat akhir semua. Inilah maksud simbolik kepala gajah.

Satu lagi faktor dalam ciptaan ialah mikrokosmo (sūkṣmāṇḍa) dan makrokosma (brahmāṇḍa) yang merupakan replika satu sama lain. Kepala gajah merujuk kepada makrokosmo dan badan manusia pula ialah mikrokosmo. Kedua-duanya menjadi satu unit. Oleh kerana makrokosmo ialah matlamat mikrokosmo, bahagian gajah telah diberikan kepentingan dengan menjadikannya kepala. Kenyataan yang paling berani yang pernah dibuat ialah ayat suci dalam Chāndogya Upaniṣad (6.8.7): 'tat-tvam-asi', 'Kaulah Itu'. Maksudnya ialah: 'Kau, jiwa yang kerdil, ialah sebenarnya Kebenaran Kosmik, Yang Mutlak (dalam kata lain, 'Tuhan').' Rupa gajah-manusia ini ialah satu gambaran ikonografi kenyataan Vedanta ini. Kepala Gajah menggambarkan prinsip kosmik manakala badan manusia pula menggambarkan jiwa individu.

Salah satu nama Gaṇapati yang popular ialah Vighneśvara atau Vighnarāja (Dewa Halangan). Dia ialah dewa untuk semua bentuk halangan dan sekatan. Jika Dia mahu, dengan kuasa-Nya untuk menyekat dan menghalang sesuatu, Dewa ini boleh menyebabkan kesusahan yang tidak terkira. Malah, menurut cerita-cerita Purāṇa, Gaṇapati dicipta ialah untuk menghalang kemaraan ke arah kesempurnaan! Bagaimanakah Vighneśvara melakukannya? Sekiranya Dia tidak disembah atau dipuja dengan cara yang betul, semua tindakan dan aktiviti, sama ada sekular atau keagamaan, akan terganggu dan menghadapi halangan. Ini menunjukkan bahawa tanpa rahmat atau restu-Nya, tiada apa-apa yang akan berjaya. Jika Dia gembira dan berpuas hati dengan pemujaan yang dilakukan, Dia akan cuba menggoda pemuja-Nya dengan kejayaan dan kekayaan (siddhi dan ṛddhi), yang secara beransur-ansur akan memesongkan seseorang dari jalan kerohanian. Mengapakah Dia berbuat demikian? Bagi menguji pemujanya dengan sepenuhnya sebelum memberikan rahmat kerohanian yang tertinggi iaitu mokṣa. Sebagai Raja semua seni dan sains, dan khazanah segala ilmu, Gaṇapati dengan mudah boleh memberikan seseorang kejayaan atau kesempurnaan. Namun, Dia enggan untuk memberikan ilmu kerohanian yang akan membawa kepada pengalaman kerohanian yang tertinggi kerana khuatir manusia akan memandangnya ringan. Maka, ujian yang ketat dikenakan. Jalan ke arah kebaikan penuh dengan pelbagai rintangan. Hanya wira-wira terbaik, yang berani menghadapi segala dugaan dan cabaran, layak untuk mencapainya. Secara semulajadi, manusia cenderung untuk menikmati keseronokan duniawi dan mabuk dengan kuasa dan kekayaan. Hanya satu dalam sejuta akan berpaling ke arah Tuhan. Dalam kalangan jiwa-jiwa ini, hanya beberapa sahaja yang berjaya mencapai matlamat akhir. (vide Bhagavad Gita 7.3)

Gaṇapati mempunyai telinga yang besar, cukup besar untuk mendengar doa semua orang. Namun, seperti kipas, telinga itu dapat menapis dan mengasingkan antara doa yang baik dan buruk untuk pendoa-Nya. Gading-Nya yang sempurna merujuk kepada Kebenaran, Satu tanpa yang lain. Gadingnya yang terpatah pula menggambarkan dunia, yang kelihatan tidak sempurna akibat percanggahan asas.